Kisah 2
Saya tak tahu bagaimana saya harus mulakan luahan hati ini. Apa panggilan yang saya harus gunakan pada awak? Sayang? Awak mesti pelik kalau saya panggil awak sayang, kan? Silap hari bulan, awak mesti marah saya, kan? Ariana � Mungkin saya patut panggil awak Ariana kerana saya telah menikahi seorang gadis bernama Nur Ariana binti Muhammad Ariffin pada bulan Mac dua tahun lalu. Sejujurnya, saya memang tidak ikhlas menerima kehadiran Ariana dalam hidup saya. Bukan saya tidak kenal Ariana tapi hati saya bukan pada Ariana. Bagi saya, tanpa cinta, alam perkahwinan yang bakal dikecapi seakan tidak bermakna. Ariana pun sedar hakikat itu, kan?
Biarlah saya ceritakan semuanya dari awal supaya antara kita tidak ada lagi perselisihan. Saya harap Ariana dapat memahami situasi saya. Bukan saya sengaja melayan Ariana sebegitu. Saya tahu setiap hari hati Ariana terguris kerana tindakan saya. Untuk pengetahuan Ariana, saya telah memilih tarikh 1 Januari untuk menemukan gadis yang bertakhta di hati saya, Diya dengan ahli keluarga saya. Namun khabar yang menanti saya benar-benar mengejutkan dan � menyakitkan. Arwah nenek telah mewasiatkan pada saya untuk mengahwini Ariana.
Boleh Ariana bayangkan perasaan saya waktu itu? Saya sudah berjanji pada gadis yang mencuri hati saya sejak saya belajar di Jepun lagi, bahawa dialah yang akan menemani hari-hari saya sehingga nafas saya terhenti. Tiba-tiba Ariana hadir dalam hidup saya, tanpa sepatah bicara. Saya tak kenal pun siapa Ariana sehinggalah Ibu tunjukkan gambar Ariana. Saya seakan mengenali Ariana tapi saya tidak ingat bila dan di mana. Wajah Ariana bermain-main di fikiran saya sehinggalah satu nama terlintas di fikiran saya. Izzah.
Kenangan saya di UTMKL mula bermain di minda. Arianalah yang selalu menemani Izzah ketika kami berjumpa di kampus atau di kolej. Tapi Ariana sangat pendiam. Seingat saya, sewaktu Izzah memperkenalkan Ariana pada saya, Ariana hanya menundukkan kepala dan terus memandang ke arah lain. Setiap kali saya dan Izzah bertemu, Ariana tak pernah bercakap dengan saya. Seolah-olah Ariana membenci saya. Kemudian terlintas satu soalan di fikiran saya. Bagaimana Ariana mengenali nenek saya dan mengapa nenek boleh mengeluarkan wasiat sebegitu sedangkan nenek tahu hubungan saya dan Diya?
Satu demi satu lembaran perkenalan antara Ariana dan nenek saya saya ketahui. Rupanya Arianalah yang selalu membantu nenek menguruskan majlis di mana-mana rumah kebajikan. Nenek saya adalah salah seorang sukarelawan yang aktif membantu di rumah kebajikan di seluruh negara. Saya pernah menghadiri satu majlis yang nenek uruskan tetapi hari itu Ariana tidak ada. Setelah mendengar wasiat nenek, barulah saya teringat yang nenek pernah memberitahu yang dia ingin menemukan kita berdua. Kalaulah nenek tahu yang kita pernah berkenalan sebelum ini, kan?
Ariana mungkin tak tau yang saya sudah menemui Ariana beberapa kali. Dengan niat ingin mengenali Ariana, saya menghadiri satu majlis di Rumah Kebajikan Khadijah. Saya lihat Arianalah orang yang paling sibuk. Sekejap Ariana berada di tepi pentas dengan wajah yang serius. Seketika Ariana ada di halaman rumah sedang ketawa riang dengan kanak-kanak. Kemudian Ariana hilang. Rupanya Ariana sibuk di dapur untuk memastikan semua makanan sudah tersedia.
First impression saya pada Ariana? Ariana seorang yang komited dengan kerja dan cukup profesional. Ariana juga mesra dengan kanak-kanak dan saya ada juga melihat Ariana di dapur. Ariana tidak kekok melakukan kerja dapur dan kerja menghias. Ariana memang ada ciri-ciri wanita yang diingini setiap lelaki walaupun Ariana tidak secantik Izzah dulu. Juga tidak secantik Diya. Tapi itu bukanlah sebabnya saya tidak tertarik pada Ariana. Jika saya tidak bertemu dengan Diya, mungkin saya akan segera setuju untuk mengahwini Ariana. Ariana cukup berbeza dari Ariana yang saya kenali dulu.
Dulu Ariana bukan saja pendiam malah Ariana juga tidak terlalu pandai bergaya. Ariana tidak dapat menandingi Izzah. Tetapi kini Ariana berubah. Ariana mempunyai daya penarik tersendiri dengan senyuman manis Ariana, kelincahan Ariana dan gaya Ariana yang tersendiri ... Mungkin Ariana tidak tahu Ariana mampu menarik perhatian seorang lelaki dengan gaya Ariana.
Saya yakin Ariana tak ingat waktu saya sengaja melanggar Ariana di Rumah Kebajikan Khadijah. Saya ingin merapati Ariana, ingin mengenali personaliti Ariana. Saya agak terkedu kerana Ariana yang meminta maaf terlebih dahulu sedangkan saya yang sengaja berlanggar bahu dengan Ariana. Ariana langsung tak pandang wajah saya dan segera beredar. Saya ketawa kecil melihat tingkah laku Ariana. Kalut semacam!
Seminggu selepas itu Ibu meminta jawapan dari saya. Ibu ingin tahu saya sudi memenuhi permintaan terakhir arwah nenek atau tidak. Bolehkah saya menolak permintaan seseorang yang telah menjaga saya sejak kecil lagi? Ariana mungkin tak tau tapi saya lebih rapat dengan arwah nenek berbanding Ibu. Saya minta Ibu berikan masa untuk saya berfikir dengan lebih dalam. Saya sayangkan Diya tapi dalam masa yang sama saya tak dapat bersamanya. Ariana boleh faham perasaan saya waktu itu?
Akhirnya saya beranikan diri untuk berhadapan dengan Diya. Diya menangis teresak-esak di hadapan saya sehingga orang lain memandang ke arah kami. Saya bingung, tidak tahu apa yang harus saya lakukan. Saya genggam erat tangan Diya dan saya berjanji padanya yang walau apa pun terjadi, saya tetap akan bersamanya. Dalam hati saya sematkan satu janji. Saya akan meninggalkan Ariana selepas kita berkahwin. Saya tak akan bersama lama dengan Ariana. Berhari-hari saya memujuk Diya dan akhirnya dia setuju untuk menunggu sehingga saya menceraikan Ariana.
Saya kejam, kan? Saya rancang sesuatu tanpa memikirkan ada yang akan terluka. Saya tahu saya kejam melukai perasaan seorang gadis yang tidak tahu apa-apa. Dulu saya lukakan Izzah kerana seorang perempuan yang tidak saya kenali. Sekarang saya lukakan Ariana. Kalaulah Izzah tahu, mesti Izzah mengamuk dengan saya. Saya masih tak lupa tangisan sayu Izzah bila saya berterus-terang tak dapat meneruskan hubungan dengannya. Dan kini saya terbayang tangisan Ariana saat saya melukai tubuh Ariana. Bukan saja tubuh Ariana tetapi hati dan perasaan Ariana! Itulah yang paling saya kesalkan. Maafkan saya, Ariana.
Kalaulah saya boleh undur semula masa yang telah berlalu, saya pasti akan menjaga hati Ariana. Saya akan pastikan Ariana tidak akan menangis kerana saya. Saya akan membahagiakan hari-hari Ariana sampai saya mati! Tapi semua itu tak mungkin berulang lagi. Semuanya bermula apabila dengan sekali lafaz, saya menikahi Ariana. Ariana nampak anggun di hari pernikahan kita. Antara semua perempuan yang berada di masjid itu, Ariana yang paling memukau dengan baju kurung satin serba putih. Ariana tak pandang saya langsung waktu saya menyarungkan cincin di jari manis Ariana tapi saya dapat getaran tangan Ariana. Ariana cemas, ya? Kalaulah Ariana tahu apa yang bermain di fikiran saya.
Pada majlis perkahwinan kita, ketika kita bersanding di pelamin, saya dapat dengar suara-suara sumbang yang memperkatakan tentang kita, tentang Ariana. Mereka katakan kita tidak sesuai bersama dan Ariana sepatutnya bersyukur dapat memiliki saya. Saya lihat riak wajah Ariana yang agak terkilan. Kemudian mata kita saling bertemu. Saya ukir senyuman untuk Ariana. Ariana seakan bersemangat kembali. Perasaan terkilan Ariana seakan hilang.
Saya biarkan Ariana terkapar-kapar sendirian dalam bahtera perkahwinan kita. Setiap kali kita berdua-duaan saya akan menyepikan diri seakan saya tidak ada di situ. Ariana kerap menegur saya, cuba untuk berkomunikasi tapi saya biarkan hasrat Ariana mati. Sepuluh patah perkataan Ariana ucapkan, hanya sepatah saya jawap. Kadang-kadang saya langsung tidak menyahut, berpura-pura tidur atau hanya mendengus kecil. Ariana cukup tabah, sayang � Ariana cuba memahami saya mengikut rentak saya dan membiarkan suasana dingin antara kita.
Ariana biarkan saya mengambil keputusan dalam semua hal rumah tangga. Sepatah perkataan pun saya tak cakap tentang saya ingin berpindah rumah. Ariana menurut sepenuh hati walaupun Mama tidak bersetuju. Hati saya agak tersentuh apabila Ariana dengan tenangnya bahawa tempat Ariana adalah di sisi saya. Tapi saya ego. Saya bekukan perasaan saya. Saya tak mahu lupa janji saya pada Diya. Saya tak mahu menyeksa Diya. Dan saya tidak mahu terus-terusan menyeksa Ariana. Saya tidak mengizinkan Ariana bekerja. Mengapa saya boleh meminta demikian sedangkan saya akan meninggalkan Ariana? Entahlah, saya tak tahu apa yang merasuk saya �
Ariana, saya bukan malaikat yang tidak bernafsu, Ariana. Setiap malam saya resah apabila Ariana tidur di sisi saya. Awalnya Ariana tidur ganas, tau? Sampai saya terpaksa tolak tangan dan kaki Ariana yang �terpeluk� badan saya. Agaknya Ariana mimpi peluk teddy bear bucuk Ariana tak? Haha. Waktu saya sentuh kulit Ariana, saya macam terkena electric shock. Kulit Ariana lembut. Saya renung wajah Ariana satu persatu. Saya usap rambut Ariana dan fikiran saya mula melayang sehingga Ariana memalingkan badan. Saya segera beristighfar. Saya boleh bersumpah kalau Ariana tidak berpaling, mungkin malam itu juga kita bersama.
Sejak hari itu saya sedar. Saya harus melarikan diri dari Ariana. Satu malam saya pergi ke bilik kedua selepas Ariana tidur lena. Sebenarnya saya merancang untuk bangun awal dan kembali ke bilik tidur kita supaya Ariana tidak sedar tetapi saya hanya terbangun apabila Ariana membangunkan saya. Suara Ariana lembut membangunkan saya dan meminta saya mengimamkan solat subuh. Hati siapa yang tidak tersentuh dengan sikap Ariana yang begitu baik dan begitu tabah seakan tidak ada apa-apa yang berlaku? Saya pasti tindakan saya merobek perasaan Ariana. Siapa yang tidak akan terluka, kan?
Satu perkara lagi yang menyentuh hati saya adalah apabila Ariana tidak pernah lupa mengucup tangan saya dan meminta maaf sebelum saya bekerja. Saya kaget kali pertama Ariana menyalami tangan saya dan meminta maaf. Hampir-hampir saya menarik semula tangan saya. Rupanya itu adalah kebiasaan Ariana. Mama yang memberitahu apabila kita sekali-sekala datang melawat keluarga Ariana. Ariana cukup baik, terlalu baik buat saya. Apabila teringat kata-kata umpatan sewaktu majlis perkahwinan kita, saya terasa ingin menyangkal kata-kata mereka. Saya yang tak layak untuk Ariana!
Sepanjang kita bersama, sepanjang itu jugalah saya bersama Diya. Semua orang di pejabat tahu tentang hubungan saya dan Diya dan mereka juga tahu tentang perkahwinan kita. Bukan sekali dua saya diumpat atau dikutuk secara terang-terangan di pejabat tapi saya tidak peduli. Untuk apa mendengar kata-kata yang menyakitkan? Yang penting saya dan Diya bahagia. Berkali-kali Diya mendesak supaya saya segera menceraikan Ariana tapi hati saya terasa berat untuk melepaskan Ariana. Kenapa ya?
Ariana ingat tak sewaktu kita menghadiri Annual Dinner syarikat tempat saya bekerja? Ariana kelihatan berbeza. Lebih hangat daripada biasa, hehe. Saya sebenarnya kurang selesa berpakaian sedondon dengan Ariana tetapi saya tidak sampai hati mengecilkan hati Ariana. Semua orang memuji Ariana. Tidak cukup juga ada yang mengata dengan mengatakan Ariana bodoh dengan berkahwin dengan saya. Ada juga yang berkata saya tiada akal kerana melayan Ariana sebegitu. Dengan satu jelingan, mereka mengunci mulut. Tapi apa yang mereka katakan itu betul, kan? Ariana tidak sepatutnya menerima saya dan saya tidak sepatutnya melayan Ariana sebegitu.
Selesai majlis, Diya menarik tangan saya. Dia berkeras mahu bertemu dengan saya sedangkan saya mahu segera pulang bersama Ariana. Saya minta Ariana tunggu di kereta dan saya bergegas menemui Diya. Diya merajuk. Dia mahu saya segera menceraikan Ariana atau semuanya berakhir antara kami. Fikiran saya buntu. Saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan dan saya tidak tahu apa yang saya rasakan sebenarnya! Saya genggam tangan Diya dan membelai pipinya. Entah untuk kali ke berapa saya memberi harapan, saya sendiri tidak tahu. Sebenarnya malam itu saya ada agenda saya sendiri. Saya sudah memikirkan untuk berbual panjang dengan Ariana dalam perjalanan pulang tapi apa yang saya lakukan? Saya bersiul untuk menghilangkan tekanan di minda saya.
Saya mula merancang untuk membuat Ariana benci pada saya. Saya merancang untuk sering pulang lewat sehingga awak tidak dapat menahan sabar dengan tindakan saya. Tapi situasi yang tidak memihak pada saya pula berlaku. Ibu datang tinggal bersama buat beberapa hari. Mahu tidak mahu saya terpaksa pulang awal ke rumah dan yang lebih menyesakkan dada saya, kita terpaksa tidur sekatil. Saya tidak mahu Ibu mengesyaki apa-apa. Mahu tidak mahu juga saya terpaksa berlakon mesra dengan Ariana. Lakonan Ariana cukup neutral, cukup sempurna sehingga Ibu menelefon memberitahu yang Ariana sangat baik. Betul kata Ibu, Ariana � Dan saya yakin semua itu bukan lakonan. Ariana ikhlas. Ariana terlalu baik sehingga sanggup melukakan perasaan sendiri.
Selepas Ibu pulang, saya memulakan rancangan saya. Sewaktu Ariana sedang mengemas, saya sengaja jatuhkan wallet saya dan membiarkan Ariana ternampak gambar Diya. Rancangan saya mula goyah apabila Ariana senyum. Ariana cukup murah dengan senyuman. Dalam keadaan yang cukup menyeksakan, Ariana masih mampu tersenyum. Saya dengan senang hati bercerita tentang Diya apabila Ariana bertanya tentang Diya. Saya mahu Ariana membenci saya. Ariana tau tak saya merancang untuk terus menyakitkan Ariana dengan pulang dalam keadaan tidak terurus dan ada lipstik di baju saya? Sampai begitu sekali rancangan saya, kan �
Tapi saya tak sanggup. Satu malam, selepas menikmati makan malam saya memberitahu hasrat saya untuk membebaskan Ariana dari ikatan perkahwinan kita. Kenapa Ariana tak setuju? Kenapa Ariana lebih sanggup mengizinkan saya mengahwini Diya daripada bercerai dengan saya? Kenapa Ariana buat saya bingung? Apa yang Ariana mahukan dari saya? Memang benar kuasa talak ada di tangan saya tetapi saya tidak mahu kuasa itu digunakan sesuka hati. Dalam keadaan buntu, saya akur dan akan meneruskan rancangan saya.
Saya sengaja bercerita tentang Diya ketika bersama Ariana. Saya sengaja meminta nasihat pada Ariana tentang saya dan Diya. Saya juga sengaja berlakon di dalam bilik apabila saya dengar pintu bilik Ariana terbuka. Saya sengaja ketawa seolah-olah saya sedang berbual dengan Diya dalam telefon. Kenapalah saya ni bodoh sangat, kan? Kenapa saya tak nikmati saat bersama Ariana dan meneruskan kehidupan kita berdua?
Kenapa saya lebih rela berpura-pura dan menipu mengatakan Ariana adalah sahabat baik saya? Bodohnya saya!
Masalah saya kian sarat apabila Diya menuntut janjinya. Kali ini Diya lebih nekad dengan tidak menjawab semua panggilan dan message dari saya. Saya tidak beritahu pada Diya tentang rancangan saya kerana saya tahu Diya tidak akan bersetuju. Saya juga tak mahu Diya salah sangka. Saya mahu perasaan benci wujud sendiri dalam diri Ariana. Saya tidak mahu kejam terhadap Ariana. Saya pulang lewat dengan mata yang sembap. Hampir enam jam saya menunggu di bawah kondo Diya dan menangis. Seluruh badan saya terasa lemah apabila Diya tak ada di sisi saya, Ariana. Bukan sebulan dua kami bersama. Hampir tujuh tahun saya bersama Diya, mana mungkin saya dapat meninggalkannya? Ariana mengerti, kan?
Ariana pujuk saya malam tu, walaupun tanpa satu ucapan terbit dari bibir Ariana. Ariana genggam tangan saya. Saya sedih, Ariana � Kenapa saya perlu hadapi situasi sebegini? Kenapa saya harus menderita dan melukakan hati orang lain? Kenapa saya tak tabah macam Ariana? Kerana terlalu ikutkan perasaan, saya peluk Ariana dan baring di riba Ariana sehingga saya tertidur. Saya tidak tahu berapa lama masa berlalu apabila saya terbangun. Tangan Ariana menekap dahi saya dan mata Ariana terpejam. Kepala saya sakit tapi saya gagahkan diri untuk membaringkan Ariana di katil dan dalam keadaan separuh sedar, saya tertidur di sisi Ariana.
Saya bermimpikan Diya. Diya meninggalkan saya walaupun saya melutut di hadapannya, merayu padanya. Apabila saya bangun dari mimpi itu, saya lihat Ariana duduk di lantai sambil menggenggam tangan saya. Di dahi saya ada kain yang agak basah. Barulah saya teringat yang saya demam semalam. Buat kesekian kalinya hati saya tersentuh. Ariana seorang isteri yang sempurna, yang menjaga suaminya sepanjang masa. Ariana lebih layak dengan orang lain yang boleh menghargai Ariana. Saya angkat tubuh Ariana dan biarkan Ariana tidur di katil saya. Sebelum saya keluar dari rumah, saya tinggalkan satu nota untuk Ariana.
Saya kalah dalam permainan saya sendiri, Ariana. Saya mahu Ariana bencikan saya tapi kini saya yang kalah dengan perasaan saya sendiri. Bohong kalau saya katakan yang tak pernah sekali pun terdetik pun perasaan sayang dalam hati saya untuk Ariana. Dengan perlahan-lahan wajah Ariana muncul di sudut hati saya. Saya sedar yang Ariana mula menguasai ruang hati saya. Sedikit demi sedikit bayangan Ariana mula menghantui diri saya dan menolak jauh-jauh bayangan Diya. Setiap kali saya melihat Diya, saya seakan ternampak senyuman Ariana di mana-mana sahaja.
Saya jadi tak menentu hari itu. Apa saja yang saya buat semuanya salah. Saya teringat hangatnya tubuh Ariana sewaktu saya memeluk Ariana. Saya teringat betapa tulusnya hati Ariana sewaktu menjaga saya malam itu. Saya masih terasa lembutnya jemari Ariana membelai rambut saya. Saya terasa benar-benar bersalah pada Ariana. Sewaktu saya bertemu Diya di biliknya, Diya mendengus kasar dan mengherdik saya. Ariana tak macam Diya. Ariana tak pernah sekali pun meninggikan suara di depan saya. Suara Ariana lemah lembut, penuh dengan kasih sayang. Saya bodoh kerana tak pernah sedar betapa istimewanya Ariana.
Bila saya pulang, ada kejutan yang menanti rupanya. Ariana pulang ke rumah Mama untuk beberapa hari. Ariana tau apa yang saya rasakan? Rumah kita terasa kosong. Saya tak pernah merasa sepi sebegitu. Saya masuk ke bilik dan cuba untuk melelapkan mata tapi gagal kerana saya teringat yang Ariana tak ada di rumah kita. Saya tepis perasaan itu dan tidur. Malam kedua tanpa Ariana, perasaan saya kembali gelisah. Saya teringatkan Ariana. Semuanya tentang Ariana! Saya terasa rindu untuk disambut di muka pintu apabila saya pulang ke rumah. Saya rindu Ariana mengucup tangan saya. Saya rindu saat kita bersama menikmati hidangan. Malam ketiga? Saya masuk ke dalam bilik Ariana dan tidur di situ. Saya bayangkan Ariana ada di sisi saya. Ariana tau apa saya buat? Saya semburkan perfume Channel yang Ariana selalu pakai di katil Ariana. Sekurang-kurangnya saya dapat rasakan Ariana dekat dengan saya.
Hari keempat Ariana tidak ada, saya cuba hubungi Ariana tapi Ariana off handphone. Saya cuba sepanjang hari tapi Ariana tetap off handphone. Saya mula takut. Ariana larikan diri dari saya ke? Keesokan harinya saya hubungi Mama tapi saya dapat khabar yang menakutkan. Ariana tidak ada di rumah Mama. Saya mula berfikir yang bukan-bukan termasuklah saya sangka Ariana lari bersama lelaki lain. Saya ke rumah Ibu tetapi Ariana tidak ada di sana. Tidak cukup dengan itu, saya turun naik beberapa hotel sekitar Kuala Lumpur untuk mencari Ariana tapi bayangan Ariana tidak saya temui.
Cukup seminggu barulah Ariana pulang. Berdebarnya perasaan saya sewaktu ternampak kereta Ariana hanya TUHAN yang tahu. Hati saya melonjak girang kerana Ariana tidak meninggalkan saya. Saya berperang hebat dengan perasaan saya sewaktu masuk ke dalam rumah. Saya mahu mengetuk pintu bilik Ariana, mahu bercakap dengan Ariana tetapi saya terlalu ego dengan perasaan saya. Saya masuk ke dalam bilik dan keesokan paginya saya hanya meninggalkan nota memberitahu yang saya akan ke Johor. Tiga hari terpaksa berpisah dengan Ariana membuatkan saya menderita.
Ariana pergi lagi apabila saya tiba di rumah. Menitis air mata saya tapi hati saya tergerak untuk pergi ke rumah Mama. Ariana ada di situ. Saya terasa ingin memeluk Ariana apabila ternampak Ariana di muka pintu. Ariana segera menyalami tangan saya. Air mata saya hampir gugur saat itu. Saya rindukan Ariana. Saya sungguh-sungguh rindukan Ariana. Kemudian Ariana memasak untuk saya. Saya makan dengan penuh berselera dan mengajak Ariana untuk tinggal di rumah Mama semalaman. Ariana menolak dan memujuk saya untuk pulang tapi saya tidak bersetuju. Kalau kita pulang, mesti Ariana menjauhkan diri dari saya, kan?
Selepas mandi, saya sengaja mengganggu Ariana di ruang tamu. Saya ingin ketawa apabila melihat riak wajah Ariana yang terkejut kerana saya membahasakan diri dengan panggilan Abang. Saya berjanji akan membaiki hubungan kita. Saya tak mahu Ariana tinggalkan saya lagi. Tapi Ariana � I screwed it up. Saya musnahkan peluang untuk kita berbaik semula kerana ego yang terlalu tebal dalam diri saya. Apabila Ariana menipu saya mengatakan Ariana ada di rumah Mama selama seminggu sebelum ini, perasaan marah terus membara dalam hati saya dan saya meluahkan perasaan marah saya. Sepatutnya saya meminta maaf, Ariana. Kenapalah saya ni bodoh sangat?
Apabila kita pulang ke rumah, Ariana terus menguncikan diri di dalam bilik. Saya biarkan. Saya tahu Ariana marah dengan saya. Rancangan saya untuk membuat Ariana benci pada saya berjaya. Tapi rancangan itu memakan diri saya sendiri. Ariana tidak lagi sudi melihat saya. Walaupun Ariana masih tetap menyalami tangan saya dan menyambut kepulangan saya, kita tidak lagi makan semeja. Ariana mengelak dengan alasan tidak berselera. Saya tahu selera Ariana mati apabila bersama saya. Kerana itulah saya mengajak awak makan malam di luar. Ariana menolak tapi saya berkeras. Dengan rasa terpaksa, saya membawa Ariana ke Hotel Mandarin.
Saya hadiahkan Ariana sejambak bunga dan seutas gelang tangan. Kemudian saya pujuk Ariana untuk menemani saya di taman di KLCC. Saya bahagia dapat dengar Ariana ketawa bahagia. Saya juga bahagia, Ariana � Lebih bahagia dari ketika bersama Diya. Hari yang berlalu selepas itu membuatkan saya tersenyum lebar dan lebih bersemangat. Prestasi kerja saya yang teruk beberapa hari lalu mula mendapat pujian. Semua ini kerana Ariana. Terima kasih, Ariana �
Saya bahagia meniti hari yang berlalu. Dengan adanya Ariana di sisi, hidup saya seakan sempurna. Saya kerap pulang awal, malah kadangkala lebih awal dari biasa. Ariana kalut kerana masih belum menyediakan hidangan untuk saya. Saya memang sengaja pulang awal. Saya rindu untuk menatap wajah Ariana. Hari itu kita menyediakan makan malam bersama. Kemudian kita menonton TV bersama. Saya tahu saat itu tidak romantik tapi itu tidak penting. Bagi saya, dapat menghabiskan masa berdua adalah jauh lebih romantik daripada candle light dinner.
Tapi sayang � Kebahagiaan kita tidak lama. Malah terus hancur berkecai apabila Diya menuntut janji buat sekian kalinya. Saya kembali bingung. Saya menipu Diya tapi kali ini Diya serius. Ada seseorang sudah merisik dirinya. Saya buntu. Saya merayu pada Diya supaya menolak lelaki itu tapi Diya tak mampu lagi. Diya sudah penat menanti saya. Apa yang harus saya lakukan? Saya mula menyayangi Ariana tapi dalam masa yang sama saya tidak mahu melepaskan Diya. Akhirnya saya biarkan perasaan menguasai diri saya dan menyalahkan Ariana atas segala-galanya. Hati saya menuduh Ariana melakukan sesuatu yang keji dan hina untuk meracuni fikiran saya.
Saya marah, Ariana. Bila terpandangkan wajah Ariana, perasaan marah saya membuak-buak di dada. Saya menghempas pintu bilik dan seketika kemudian saya mula kesal. Ariana datang ke sisi saya dan Ariana � Maafkan saya � Saya terlalu ikutkan perasaan. Saya biarkan perasaan menguasai diri. Maafkan saya mengambil kesempatan pada Ariana � Tak pernah sekali pun saya mahu menyentuh Ariana. Saya sudah berjanji pada diri saya untuk melepaskan Ariana pergi dalam keadaan suci. Apa yang berlaku malam itu adalah tanpa saya sendiri sedar � Semuanya berlaku dalam sekelip mata.
Tapi perasaan kesal itu tidak lama. Wajah Diya kembali menerpa. Perasaan marah mula membakar hati saya. Semuanya bermain di fikiran saya. Dalam keadaan marah, saya ketuk pintu bilik Ariana. Apabila Ariana membuka pintu, saya tolak tubuh Ariana. Saya sakiti dan lukai tubuh Ariana. Saya tuduh Ariana menggoda saya untuk mengikat saya. Saya tuduh Ariana mahu mengikat saya seperti mana Ariana mengikat arwah nenek saya. Saya lemparkan kata-kata kesat dan tidak berhenti menyakiti Ariana. Kemudian saya tinggalkan rumah. Tangisan Ariana berkumandang di telinga saya sewaktu saya melangkah keluar.
Ariana sayang � Saya mahu undur kembali masa. Saya mahu kembali saat kita bahagia. Saya mahu undur kembali masa supaya saya tidak menyakiti Ariana. Saya tidak mahu perasaan ego terus menguasai diri saya dan membuat Ariana menderita! Setiap hari Ariana menghubungi atau menghantar message, merayu supaya saya pulang. Tapi saya ego. Saya biarkan Ariana sendirian dan mengejar cinta Diya. Tak sesaat pun saya memikirkan Ariana kerana jika saya berfikir tentang Ariana, saya akan kembali marah.
Masa terus berlalu. Diya mengundur diri. Dia menerima lamaran yang datang. Berhari-hari saya tidak tidur kerana terlalu sedih. Saya mula teringatkan Ariana tapi saya tetap ego. Saya tidak mahu mengaku salah. Bagi saya, Arianalah penyebab semua ini! Ariana menyebabkan cinta Diya beralih arah! Ariana buat saya menderita! Cinta saya selama hampir lapan tahun akhirnya berakhir begitu saja. Semua ini kerana Ariana! Disebabkan terlalu kecewa, saya biarkan message dari Ariana tidak berbalas.
Ariana serahkan kedudukan ikatan perkahwinan kita di tangan saya. Kemudian Ariana beritahu bahawa Ariana tidak tahu tentang arwah nenek saya. Ariana minta maaf jika selama ini saya merana kerana Ariana. Waktu itu, saya mengiyakan kata-kata Ariana. Memang Ariana buat saya merana! Tapi saya tak pernah terfikir untuk melepaskan Ariana. Entahlah kenapa. Mungkin saya mahu menyeksa Ariana dengan menggantung Ariana tanpa tali.
Ariana tinggalkan rumah rupanya. Satu hari saya pulang untuk mengambil barang saya. Barang-barang Ariana satu pun tiada. Jauh di sudut hati, saya terasa kosong tapi ego saya mengatasi segalanya. Saya mendengus kasar dan duduk di rumah kerana saya tahu Ariana telah pergi. Saya sedar ada sepi yang mencengkam perasaan saya. Saya biarkan perasaan itu berlalu dengan pulang lewat ke rumah dan keluar awal pagi. Di rumah, saya sering terbayang senyuman Ariana seakan Ariana ada di situ. Saya mahu melupakan Ariana.
Satu hari, saya terdengar bunyi pagar dibuka. Jantung saya berdegup kencang. Perlahan-lahan saya melangkah ke ruang tamu untuk melihat siapa di luar rumah. Serius, saya ingatkan Ariana pulang. Air mata saya hampir menitis apabila lihat Mama yang datang rupanya. Sayang � perasaan tabah sayang diwarisi dari Mama. Mama mengesat air matanya berkali-kali memberitahu tentang keadaan Ariana tetapi Mama tak marah saya, jauh sekali mengherdik. Ariana kandungkan anak saya, ya? Peristiwa malam itu ada lanjutan rupanya. Bergetar tangan saya apabila Mama memberitahu yang kandungan Ariana kini berusia hampir sembilan bulan. Saya bakal bergelar bapa, sayang �
Ariana, saya gembira. Mendengar khabar tentang Ariana adalah lebih bagus dan lebih menggembirakan dari mana-mana khabar di dunia ini. Saya mengajak Mama untuk bergegas bertemu Ariana. Jauhnya Ariana pergi sehingga ke utara. Mama mengajak saya tinggal di rumah Mama sebelum bertolak awal pagi esok. Saya segera bersetuju dan mengemas barang. Malam itu saya tidur di bilik Ariana. Mungkin ALLAH nak tunjukkan sesuatu pada saya kerana hati saya terdetik untuk menarik laci meja Ariana. Ada sebuah kotak kecil. Saya keluarkan kotak itu dan melihat kandungannya.
Benarkah apa yang saya lihat? Sehelai tudung putih, berkeping-keping gambar saya semasa di UTMKL dan satu sim card. Saya tak pernah lupa akan tudung putih itu, Ariana � Saya hadiahkan tudung itu pada Rie, gadis yang saya tak kenali sewaktu kita di UTMKL. Kenapa tudung itu ada dalam tangan Ariana? Semua gambar itu pula adalah gambar-gambar saya ketika menyertai program anak angkat di Pahang. Dari mana Ariana dapat? Saya cuba sim card itu � Ariana adalah Rie, rupanya, ya? Ariana mainkan perasaan saya ya!
Ariana tak tahu betapa saya mencintai Rie! Saya sanggup tinggalkan Izzah kerana Rie. Ariana � Apa yang sedang Ariana mainkan? Adakah Ariana merancang semua ini? Adakah perkahwinan ini Ariana yang rancangkan? Benarkah apa yang saya sangkakan? Ariana sengaja mahu mengikat saya? Apa yang Ariana mahukan dari saya? Saya kecewa � Terlalu kecewa. Dengan pantas saya meninggalkan rumah. Selama lima bulan saya menghilangkan diri. Saya tidak lagi memikirkan Ariana. Saya cuba lupakan ceritakan antara kita. Walaupun gagal, tapi saya tetap mencuba. Berpuluh atau mungkin beratus kali saya berazam untuk tidak kalah akan perasaan saya sendiri.
Tapi apabila saya bertemu dengan seorang wanita yang sedang menggendong bayinya sendirian tanpa sesiapa menemaninya, saya teringatkan Ariana. Saya seakan ternampak Ariana dan anak kita. Berhari-hari saya tidak dapat melupakan imej itu dari fikiran saya. Saya kerap bermimpikan Ariana dan mengganggu fikiran saya sepanjang hari. Saya menemui Mama. Mama nampak sedih waktu saya datang. Saya luahkan hasrat saya pada Mama untuk menemui anak saya. Mama bersetuju. Sepanjang perjalanan Mama menangis tapi saya tidak bertanya sebabnya.
Mama menunjukkan jalan apabila kami tiba di Seberang Perai. Akhirnya Mama meminta saya berhenti di hadapan kawasan perkuburan Islam. Saya tercengang. Apa ertinya semua ini? "Mama, kenapa kita ke sini?" Tanya saya. Saya cuba sedapkan hati. Saya katakan pada hati saya bahawa Mama mahu menziarahi kubur saudaranya. Mama tidak menjawab dan terus memasuki kawasan perkuburan itu. Saya mengekori sehinggalah Mama berhenti di sebuah kubur. Air mata saya mula bertakung. Walaupun Mama tak beritahu saya, tapi saya sudah mengerti.
"Jumpalah anak Nizam." Bisik Mama. Lutut saya terasa lemah. Saya jatuh terjelopok di situ. Kubur itu kecil sahaja, Ariana � Di batu nisan, tercatat nama Muhammad Islam bin Muhammad Nizam. Ariana memilih nama yang cukup baik untuk anak kita. Saya menangis teresak-esak di situ juga. Mungkin tidak keterlaluan jika saya meraung di situ. Hanya ALLAH yang tahu betapa kesalnya hati saya, Ariana. Apa yang saya telah lakukan selama ini, Ariana? Mengapa saya terlalu ikutkan perasaan sehingga mengetepikan Ariana dan anak kita?
"Anak Nizam lemas dalam kandungan � Dia meninggal sebelum sempat melihat ibunya sendiri. Ariana � Dia lahirkan anaknya sendirian �" Air mata saya mengalir semakin laju. Tanpa saya sedar, saya memeluk kubur kecil itu � kubur anak kita, Ariana! Saya tak tahu apa yang paling saya sedihkan. Mungkin kerana saya tidak sempat lihat anak kita. Mungkin kerana Ariana bersendirian tanpa saya bersama Ariana. Mungkin kerana saya sedih saya sering mengambil keputusan yang salah dan saya yang menderita akhirnya. Kenapa Ariana perlu terkena tempias keputusan saya?
Lama saya berada di situ. Berkali-kali Mama menarik tangan saya supaya meninggalkan anak kita tapi saya tak sanggup! Mama katakan pada saya supaya melupakannya dan mengambil ikhtibar terhadap apa yang telah berlaku. Tidak semudah itu untuk melupakan! Kerana keputusan yang saya ambil, kerana terlalu ikutkan perasaan, kerana terlalu ego, akhirnya Ariana yang menderita! Entah bagaimana perasaan Ariana � Saya tak sanggup nak fikirkan.
Fikiran saya mula stabil apabila Mama mengajak saya datang bertemu dengan Ariana. Sebelum meninggalkan kubur anak kita, berkali-kali saya mengucup batu nisan yang terpacak tegak di tanah yang dihiasi dengan kuntuman mawar yang sudah layu. Berkali-kali saya menoleh ke arah kubur Muhammad Islam � Anak kita, Ariana � Anak kita yang Ariana kandungkan � Anak kita dah tiada, Ariana � Saya tak sempat lihat wajah anak kita, Ariana � Saya tak sampat memegang anak kita �
Mama memandu dan kira-kira setengah jam kemudian kami tiba di perkarangan hospital. Buat kali kedua hati saya dirundung sayu. Apa pula kejutan untuk saya kali ini? Setelah Mama meletak kereta, Mama membawa saya ke satu bilik. Dalam perjalanan, Mama ditegur seorang lelaki muda berpakaian putih. Di dadanya terpampang nama Dr. Zikri. Mama seakan sudah lama mengenali doktor itu. Fikiran saya bercelaru. Terlalu banyak kemungkinan yang saya fikirkan. Mama memperkenalkan saya dengan doktor itu. Saya tak suka lihat cara doktor itu memandang ke arah saya. Seakan ada sesuatu yang tersirat di sebalik caranya memandang.
Di sepanjang perjalanan menemui Ariana, saya lihat semua orang yang berada di situ. Langkah saya terhenti di sebuah bilik besar berwarna putih. Tingkah laku mereka semuanya pelik. Mereka seakan tidak sedar apa yang mereka sedang lakukan. Mengapa dengan mereka? Suara Mama yang memanggil mengusir tanggapan saya jauh-jauh. Saya terus berjalan sehinggalah Mama berhenti di hadapan sebuah bilik. Ada nama Ariana di luar pintu bilik itu.
"Selepas Muhammad Islam dilahirkan, seminggu Ariana koma. Bila diberitahu anaknya meninggal dunia, fikiran Ariana terganggu dan � dia terpaksa terima rawatan mental." Saya terus buka pintu bilik itu tanpa mengetuknya terlebih dahulu. Ariana duduk di tepi tingkap. Ariana nampak tidak bermaya. Rambut Ariana kusut masai dengan wajah yang cengkung. Tubuh Ariana kurus. Mata Ariana bengkak seolah-olah Ariana menangis lama. Perlahan-lahan saya hampiri Ariana. Ariana tidak sedar saya ada di situ. Seketika kemudian Ariana memalingkan wajah.
Saat mata kita bertemu, mata saya berair. Saya hampiri Ariana dan terus memeluk Ariana. Saya mohon ampun pada Ariana. Apa yang telah saya lakukan pada Ariana? Kejamnya saya kerana melukai Ariana sehingga fikiran Ariana terganggu! Kejamnya saya kerana menyebabkan kematian anak kita! Maafkan keegoan saya, Ariana! Saya pentingkan diri sendiri! Saya sangkakan hanya saya yang menderita, hanya saya yang merana tetapi Ariana jauh lebih menderita dari saya!
"Maafkan saya. Saya tahu saya salah. Saya mohon ampun dari Ariana! Maafkan saya! Saya mohon ampun! Maafkan saya, Ariana!" Ariana tidak menyahut. Air mata Ariana turut mengalir tapi tiada sepatah kata Ariana luahkan. Saya menangis teresak-esak tanpa melepaskan tubuh Ariana dari pelukan. Saya bersalah, Ariana � Saya tahu saya bersalah, saya berdosa pada Ariana!
Ariana melepaskan pelukan saya dan bangun dari kerusi. Ariana capai tangan saya dan kucup tangan saya. Hati saya pedih saat Ariana mohon ampun. Ariana terlalu mulia, sayang � Saya yang berdosa tetapi Ariana yang meminta maaf. Hati saya sakit. Kenapa Ariana tak marah saya? Kenapa tak tengking saya? Saya tak layak untuk memberi kemaafan pada Ariana kerana saya yang salah! Ariana minta saya lepaskan Ariana pergi � Saya cuba peluk Ariana. Mana mungkin saya akan lepaskan Ariana pergi. Kali ini saya bersumpah, saya akan jaga Ariana! Tapi Ariana mengelak dan Ariana tolak saya keluar dari bilik Ariana.
Ya ALLAH, ampunkan aku! Saya jeritkan nama Ariana. Jangan buat saya begini, Ariana! Saya menyesal sepenuh hati saya! Saya ingin baiki segalanya antara kita. Tapi Ariana tidak menyahut. Dalam desahan nafas yang tidak menentu dan perasaan yang bercampur baur saya dapat dengar tangisan Ariana. Saya ketuk pintu Ariana berkali-kali. Ariana sayang � Maafkan saya, maafkan saya! Saya tahu ucapan maaf ini tidak setimpal dengan apa yang Ariana telah lalui selama ini. Saya tahu walaupun dengan ucapan maaf ini Ariana takkan mungkin mampu melupakan segalanya yang telah berlaku. Saya tahu Ariana tak dapat maafkan saya tapi berikanlah saya satu peluang terakhir. Saya tahu saya tak layak bertemu dengan Ariana lagi tapi saya mahu tebus semua kesilapan saya selama ini! Saya terus menjerit namun Ariana tetap tidak menyahut sehingga saya ditarik oleh dua orang pengawal keselamatan.
Ariana � apa akhirnya cerita kita?